TOPIK 2: JAWAPAN ESEI: MASALAH PENGIRAAN PENDAPATAN NEGARA

Published January 18, 2013 by STARS

Masalah Penentuan Harga Barang

Harga barang cenderung berubah dari semasa ke semasa dan berbeza antara tempat dalam sesebuah negara. Jadi, sukar untuk menentukan harga barang yang tepat bagi menghitung nilai keluaran yang disumbangkan oleh setiap sektor dalam ekonomi.

Masalah Pengumpulan Maklumat

Semasa penghitungan Pendapatan Negara, masalah pengumpulan data cenderung timbul. Misalnya, nilai pertukaran barter, pendapatan daripada aktiviti haram dan data susut nilai sukar diperoleh. Oleh itu, data Pendapatan Negara tidak dapat dihitung dengan tepat.

Sesetengah negara sedang membangun dan negara kurang maju tidak mempunyai maklumat tepat tentang kegiatan ekonomi mereka.

Masalah Pengiraan Kegiatan Haram

Sesetengah kegiatan ekonomi yang produktif dianggap sebagai kegiatan haram, dan tidak dicampurkan dalam akaun pendapatan negara sesetengah negara. Kegiatan haram ini termasuk pelacuran, perjudian,penanaman dan penjualan ganja dll.

Masalah Pengiraan Kegiatan Yang Tidak Dibayar Dengan Wang

Sesetengah kegiatan ekonomi yang produktif tidak dibayar dengan wang. Ini termasuk kegiatan gotong-royong, pertukaran barang dalam sistem barter, penggunaan bangunan pemilik untuk tujuan pengeluaran atau perniagaan, bayaran upah dalam bentuk bukan wang, dan perkhidmatan suri rumah.

Kegiatan ekonomi seperti ini seharusnya diambil kira dalam penghitungan pendapatan negara tetapi susah dilakukan.

Masalah Pengiraan Dua Kali

Kebanyakan barang perlu melalui beberapa proses pengeluaran sebelum menjadi barang siap atau barang akhir. Jadi, bagi mengelakkan masalah pengiraan dua kali, nilai barang perantaraan tidak harus dimasukkan dalam pengiraan Pendapatan Negara mengikut kaedah keluaran. Sebaliknya, hanya nilai barang akhir atau jumlah nilai ditambah sahaja yang perlu dimasukkan semasa mengira Pendapatan Negara mengikut kaedah keluaran.

Masalah pengiraan dua kali selalunya wujud kerana sukar untuk membezakan barang akhir dengan barang perantaraan. Jika nilai kedua-dua barang akhir dan barang perantaraan dicampurkan, ini akan berlaku masalah nilai pendapatan negara dibesarkan.

 Masalah Pengiraan Perbelanjaan Kerajaan

Bunga atas pinjaman kerajaan (satu bentuk bayaran pindahan) tidak boleh dicampurkan.

Perbelanjaan kerajaan keatas barang perantaraan tidak patut dicampurkan, contohnya bayaran upah kepada anggota tentera dan polis yang bertujuan melicinkan proses pengeluaran barangan.

Masalah Penentuan Nilai Perubahan Dalam Inventori

Barang simpanan perusahaan terdedah kepada perubahan tingkat harga. Oleh itu, perubahan dalam inventori akan berlaku melalui masa.

Pembetulan nilai inventori perlu dilakukan untuk mengelakkan masalah “lebih nlai” atau “kurang nilai” KNK. Namun begitu, adalah sukar untuk menaksir harga inventori dari semasa ke semasa.

Masalah Penentuan Susut Nilai

Modal fizikal tetap seperti bangunan kilang, mesin dan kenderaan mengalami kerosakan dalam proses pengeluaran.

Namun begitu, adalah sukar untuk menaksir nilai susut nilai modal fizikal tetap. Ini menyulitkan pengiraan pelaburan bersih (iaitu pelaburan kasar − susut nilai) dan seterusnya pengiraan Keluaran Negara Bersih.

Leave a comment

PUSAT TINGKATAN ENAM SMK TUN ABDUL RAZAK, SELEKOH

“The mind is not a vessel to be filled, but a fire to be kindled.”

MPPT6 STARS

Majlis Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam SMK Tun Abdul Razak

WordPress.com News

The latest news on WordPress.com and the WordPress community.